Dalam perkembangan terbaru kes pembunuhan Nur Farah Kartini, pasukan Unit Skuba dan Sub-Akuatik Forensik PDRM telah berjaya menemui telefon pintar yang dipercayai milik mangsa.
Telefon tersebut ditemukan kira-kira jam 12.21 tengah hari tadi dalam tali air di jalan Sri Kledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.
Telefor Pintar Milik Mangsa Telah Dijumpai
Pihak berkuasa mengambil masa lebih sejam menyelam di dalam tali air tersebut sebelum berjaya mengeluarkan telefon yang diharapkan dapat memberikan petunjuk penting dalam siasatan.
Suspek yang ditahan berhubung kes pembunuhan itu turut dibawa ke lokasi untuk pengecaman telefon pintar tersebut.
Operasi mencari bukti yang bermula sejak jam 10 pagi turut melibatkan kerjasama dari Unit Forensik serta anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu.
Ketua Polis Selangor iaitu Datuk Hussien Omar Khan memaklumkan bahawa beliau bakal mengadakan sidang media di lokasi penemuan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, mayat Nur Farah Kartini ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada jam 6 petang Isnin, selepas dilaporkan hilang pada 10 Julai.
Susulan penemuan mayat tersebut, seorang suspek yang merupakan penjawat awam (anggota polis) berusia 26 tahun telah direman di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum penemuan mayat, laporan kehilangan Nur Farah Kartini diterima oleh polis pada Rabu lalu jam 1.56 pagi, setelah mangsa tidak pulang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan.
Kredit: Buletin TV3, Malaysia Gazette