fbpx

Seorang suspek lelaki yang bertindak melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi dalam kejadian di KLIA 1 pada Ahad semalam dilaporkan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Suspek Memiliki 3 Rekod Jenayah Lampau

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman iaitu Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, beliau memaklumkan bahawa suspek berusia 38 tahun itu memiliki tiga rekod jenayah lampau. Katanya, dua rekod adalah kes ugutan jenayah yang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan satu lagi kes adalah curi dan menyamar sebagai penjawat awam yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

“Isteri suspek sebelum ini ada buat dua laporan polis babit kes ugutan jenayah terhadapnya oleh suspek (suami) dan terbaharu kes dilaporkan pada Disember tahun lalu.

“Hasil laporan itu suspek telah ditahan polis dan kita sedang tunggu beberapa arahan lanjut (timbalan pendakwa raya). Susulan insiden akhir itu (Disember tahun lalu) itulah, dipercayai wanita terbabit membuat keputusan menggajikan pengawal peribadi,” jelasnya.

Tambah Mohd Shuhaily lagi, siasatan awal mendapati suspek mulanya telah melemparkan satu mercun dan telah mencederakan dua orang awam sebelum bertindak nekad hampiri ke arah isterinya. Suspek kemudiannya melepaskan dua das tembakan jarak dekat sekitar tiga hingga empat meter.

“Satu das telah tersasar dan satu das lagi telah mengenai seorang daripada dua pengawal peribadi wanita itu. Mangsa (sasaran) sebenar dalam kejadian terselamat daripada tembakan itu.

“Suspek kemudian terus melarikan diri ke aras 2 blok C yang mana suspek datang dan meletakkan kereta di situ,” katanya.

Pengawal Peribadi (Mangsa Tembakan) Terpaksa Ditidurkan

Mohd Shuhaily turut memaklumkan bahawa pengawal peribadi yang juga merupakan mangsa tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) itu kini terpaksa ditidurkan. Katanya, keadaan mangsa berada dalam keadaan kritikal selepas terkena satu das tembakan pada jarak dekat sekitar tiga ke empat meter.

“Saya dimaklumkan mangsa di ‘induced coma‘ (ditidurkan) sejurus keadaan kembali stabil dan pembedahan selanjutnya akan dijalankan ke atas pengawal peribadi itu.

“Suspek berkenaan tiada permit senjata api dan kita percaya dia memperoleh pistol berkenaan secara haram,” ulasnya.

Menurut PDRM, pihaknya mempercayai suspek berjaya mendapatkan senjata terbabit secara haram. Selain itu, pihak PDRM turut mendedahkan nama suspek iaitu Hafizul Harawi serta mengeluarkan gambar untuk memudahkan orang awam untuk membuat laporan polis.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]