Seorang suspek lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, Selangor akhirnya berjaya ditahan pada pukul 3 petang Isnin.
Suspek Tembakan Berjaya Ditangkap
Memetik laporan Harian Metro, polis turut merampas senjata api yang dipercayai digunakan ketika kejadian sejurus menahan suspek. Suspek iaitu Hafizul Hawari, 38, berjaya ditahan di Jalan Bayam, Kota Bharu, Kelantan yang terletak di hadapan Hospital Pakar Perdana.
Kata sumber, lokasi penahanan suspek hanyalah beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sahaja.
Berlaku Pergelutan Ketika Menahan Suspek
Suspek dilaporkan ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan. Difahamkan, terdapat satu pergelutan yang belaku di hadapan Hospital Pakar Perdana ketika proses penangkapan lelaki tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum itu mengesahkan mengenai penahanan Hafizul pada Isnin. “Ketika ditahan berlaku pergelutan dan suspek seorang diri. Turut dirampas pistol yang dipercayai digunakan ketika kejadian,” jelasnya.
Kredit: Harian Metro