Seorang lelaki warga emas dilaporkan maut selepas ditikam menggunakan gunting oleh anak saudaranya dalam kejadian di Kampung Haji Baki, Kuching, Sarawak pada malam Isnin.
Mangsa Ditemui Dalam Keadaan Terbaring Dengan Kesan Tikaman Di Dada
Menurut Ketua Polis Daerah Padawan iaitu Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi, beliau mengesahkan kejadian itu dan suspek yang berusia 27 tahun berjaya ditangkap pada hari sama sekitar jam 8.30 malam, tidak jauh dari lokasi kejadian.
Difahamkan, mangsa yang berusia 55 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring dan mempunyai kesan tikaman di bahagian dada. Mangsa yang maut itu merupakan bapa saudara kepada suspek.
Hasil siasatan mendapati berlakunya perselisihan faham diantara mangsa dan suspek sebelum suspek bertindak menyerang mangsa dengan senjata tajam, dipercayai sebilah gunting.
Suspek Sering Minta Wang Daripada Mangsa
Suspek dikatakan tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya dan sering meminta wang daripada mangsa. Susulan kejadian itu, polis bakal mendapatkan permohonan reman terhadap suspek pada Selasa untuk melengkapkan siasatan.
Motif dan punca kejadian masih disiasat di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kredit: Majoriti Official