fbpx

Seorang individu lelaki ditahan polis selepas mencederakan ibunya sendiri dengan menggunakan senjata tajam ketika mangsa sedang menunaikan solat di rumah mereka, dalam kejadian di Kampung Bongor pada pagi semalam.

Pukul Ibu Guna Sepana Pembuka Plug & Pisau Pemotong Getah

Menurut laporan Harian Metro, difahamkan suspek yang berusia 29 tahun itu turut mencederakan adik lelakinya berusia 15 tahun yang cuba melindungi ibu mereka daripada amukan suspek yang ketika itu bersenjatakan sepana pembuka plug dan sebilah pisau pemotong getah.

Ketua Polis Perak iaitu Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan bahawa suspek dikatakan telah memukul ibunya yang berusia 54 tahun secara bertubi-tubi pada bahagian muka dan sebelah kiri atas badan mangsa, dengan menggunakan senjata tajam berkenaan.

“Hasil siasatan, suspek memukul ibunya yang ketika itu sedang mendirikan solat, menyebabkan wanita itu menjerit meminta tolong. Adik suspek yang berada di dalam bilik air terdengar dan keluar melihat suspek yang sedang memukul ibu mereka bertubi-tubi.

“Adik suspek itu juga dipukul apabila cuba menolong ibu mereka. Suspek kemudian memukul mangsa dengan menggunakan sepana dan sebilah pisau pemotong getah,” katanya.

Mohd Yusri turut memaklumkan kejadian itu dilaporkan oleh kedua-dua mangsa di Balai Polis Bersia pada 7.50 pagi semalam, dan mereka datang dalam keadaan berdarah akibat luka dialami.

Suspek Didakwa Berhalusinasi Dan Mempunyai Rekod Jenayah Lampau

Hasil siasatan ke atas suspek mendapati suspek didakwa berhalusinasi, selain dia juga sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Taiping namun dibebaskan semula kerana tidak mempunyai sebarang masalah mental ketika itu.

“Suspek yang tidak bekerja (penganggur) juga didapati mempunyai rekod kesalahan lampau kes jenayah membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan pada 2011 dan pernah ditangkap,” katanya.

Kini suspek sudah berjaya ditangkap berserta rampasan barang kes, dan suspek dirujuk ke Mahkamah Taiping pada hari ini bagi permohonan perintah reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, kedua-dua mangsa juga telah mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut di Bahagian Kecemasan Hospital Gerik sebelum dimasukkan ke wad, dengan pemeriksaan oleh doktor mendapati terdapat kesan lebam dan luka hirisan pada beberapa bahagian badan.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]