Nasib seorang lelaki berusia 32 tahun berubah sekelip mata apabila kemalangan di tempat kerja menyebabkan dia kini hilang upaya dan bergantung sepenuhnya kepada isteri untuk meneruskan kehidupan harian.

Tragedi Jatuh Dari Ketinggian 10 Meter, Bapa Empat Anak Kini Hilang Upaya

Mohd Faizal Rozeman mengalami kecederaan serius selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 10 meter ketika melakukan kerja menukar bumbung di sebuah kilang dalam kejadian pada 12 Januari lalu. Insiden itu mengakibatkan kecederaan parah di kepala sehingga dia terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian tempurung kepala bagi mengeluarkan darah beku, selain mengalami keretakan tulang pinggul serta patah dua jari tangan kanan.

Isterinya, Nor Salwani Mohammad Rani, 28, memaklumkan keadaan suaminya kini amat lemah, sukar bertutur dan hanya menerima nutrisi melalui susu khas yang dimasukkan menggunakan tiub di mulut. Menurutnya, sebelum kejadian, suaminya seorang yang rajin bekerja dan melakukan pelbagai kerja kampung demi menyara keluarga mereka yang mempunyai empat orang anak. Namun kini, mereka sekeluarga terpaksa bergantung kepada bantuan adik-beradik, saudara-mara serta individu yang datang menziarah bagi menampung keperluan harian seperti susu khas dan lampin pakai buang. Pasangan itu ditemui di kediaman mereka di Kampung Tualang.

Mengimbau detik kejadian, Nor Salwani berkata suaminya terjatuh secara tiba-tiba selepas kayu yang dijadikan pelapik untuk berpijak patah ketika dia sedang bersiap melakukan kerja di bumbung kilang berkenaan. Mangsa berada dalam keadaan koma selama tiga hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, sebelum keadaannya stabil. Selepas menerima rawatan selama sembilan hari, dia dibenarkan pulang ke rumah untuk meneruskan pemulihan.

Dalam tempoh seminggu selepas kemalangan itu, keluarga turut diuji dengan pemergian ibu Mohd Faizal, Rositah Ayub, yang meninggal dunia akibat serangan jantung, dipercayai terkejut dengan keadaan anaknya. Berita sedih itu bagaimanapun masih dirahsiakan daripada Mohd Faizal atas nasihat doktor kerana bimbang tekanan emosi boleh menjejaskan kesihatannya. Nor Salwani mengakui suaminya kerap bertanyakan mengenai ibunya, namun dia hanya memaklumkan wanita itu keluar bekerja dan tidak dapat membayangkan perasaan suaminya apabila kebenaran terpaksa diberitahu kelak.

Sejak kejadian tersebut, Nor Salwani perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan bagi menampung kos keperluan suaminya, termasuk susu khas berharga RM60 setin yang hanya mencukupi untuk sehari kerana perlu diberikan setiap tiga jam. Selain itu, dia juga perlu membeli lampin pakai buang serta menyara tiga anak mereka yang masih bersekolah, berusia antara lapan hingga 13 tahun. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nor Salwani di talian 011-17997305.

Kredit: Berita Harian

 

 

 

[fbcomments]