Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dilaporkan maut selepas ditemui lemas akibat terjatuh ke dalam tasik berhampiran Masjid Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar, Perak pada Sabtu.
Tengah Tunggu Solat Waktu Zohor
Menurut laporan Majoriti Official, difahamkan kejadian berlaku semasa mereka sekeluarga sedang menunggu waktu solat Zohor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak iaitu Sabarodzi Nor Ahmad, beliau memaklumkan bahawa anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.19 tengah hari.
“Maklumat yang diperolehi daripada keluarga dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) cuma menunjukkan kanak-kanak itu berada bersebelahan dengan tasik.
“Pasukan penyelamat di air (PPDA) yang diarahkan untuk menyelam telah menjumpai mangsa pada jarak tiga meter daripada tebing tasik pukul 4.25 petang.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya semalam.
Jumpa Mangsa Di Kawasan Tasik
Sementara itu, menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook @Siti Nur’ Rahmah, jenazah mangsa yang bernama Hadi Zulqarnain Muhammad Huzaifah itu sudah dibawa ke Hospital Changkat Melintang dan seterusnya ke Lumut, Perak.
Katanya, kejadian berlaku ketika keluarga mangsa berhenti untuk menunaikan solat di Masjid UTP sebelum mendapati anaknya hilang.
“Mereka berhenti solat di Masjid UTP, Zahra (ibu mangsa) dalam kereta bergilir nak solat kerana ada anak kecil. Hadi hilang ketika solat dan cari tak jumpa. Tengok semua CCTV, akhirnya (nampak) Hadi berada di kawasan tasik.
“Hadi ni anak yang baik, aktif, bijak. Teringat-teringat cheeky dia. Terasa kesedihan dan beratnya hati seorang ibu,” tulisnya sambil memaklumkan Hadi adalah anak kedua dalam keluarganya.
Kredit: Majoriti Official