Seorang anggota polis berusia 25 tahun ditemukan maut selepas dipercayai menggantung dirinya di sebuah tandas Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Lebuh Raya Utara-Selatan, Nilai arah selatan, semalam.
Dijumpai Dalam Keadaan Tergantung Di Tiang Besi Atas Penghadang Tandas
Berdasarkan laporan Kosmo! Ketua Polis Daerah Nilai iaitu Superintenden Abdul Malik Hasim memaklumkan bahawa Balai Polis Nilai telah menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian kira-kira jam 5.45 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati si mati yang berumur 25 tahun dan telah berkahwin itu merupakan seorang anggota polis yang bertugas di Kontinjen Kuala Lumpur.
“Si mati dijumpai dalam keadaan tergantung di tiang besi atas penghadang di dalam tandas dan dipercayai telah membunuh diri dengan menjerut lehernya menggunakan jaket disyaki miliknya.
“Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan telah membantu siasatan di tempat kejadian dan mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh si mati kecuali hanya kesan jerutan di leher akibat tergantung,” jelasnya.
Abdul Malik berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.
Kredit: Kosmo!