Alangkah terkejutnya seorang wanita apabila anjing peliharaan miliknya menyalak secara tiba-tiba sebaik sahaja tiba di kawasan longkang berair yang terletak di Taman Derga Jaya, Alor Setar, Kedah ketika sedang bersenam sebelum menemukan mayat seorang lelaki pada Ahad lalu.
Anjing Korek Tanah Di Kawasan Kejadian, Rupanya Temui Mayat Di Bawah Penutup Besi Longkang
Memetik laporan Harian Metro, saksi yang bernama Lee Ming Ching, 51, memaklumkan bahawa selepas bersenam beliau kemudiannya menghampiri kawasan kejadian sebelum menjumpai mayat seorang lelaki di bawah penutup besi longkang berkenaan.
Katanya, anjing tersebut dapat menghidu sesuatu sebelum mengorek tanah di kawasan terbabit.
“Saya tak sedap hati dan menyangka anjing saya mengesan biawak dan berkelakuan pelik apabila enggan pulang walaupun sudah beberapa kali ditarik.
“Hairan dengan tingkah laku anjing, saya menjenguk di satu kawasan longkang berpenutup besi sebelum ternampak satu mayat lelaki dalam keadaan tertiarap,” jelasnya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar iaitu Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian pada jam 7.25 malam Ahad. Sepasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dikerahkan ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan di kawasan penemuan mayat berkenaan.
Mayat Dijumpai Dalam Keadaan Tertiaram Dalam Longkang
Siti Nor Salawati menyatakan saksi kejadian itu menemukan mayat lelaki tersebut pada jam 6.30 petang semasa dia berjalan kaki sambil bersenam bersama anjingnya sebelum anjingnya menyalak dengan tiba-tiba.
“Saksi kemudian menarik anjingnya untuk pulang tetapi haiwan peliharaannya itu terus menyalak dan membawanya semula ke longkang berkenaan.
“Saksi kemudian membuka penutup besi itu sebelum ternampak mayat lelaki dalam keadaan tertiarap dalam longkang berkenaan dan mendapatkan bantuan serta menghubungi polis,” ujarnya.
Isteri dan anak mangsa kemudiannya tiba di lokasi kejadian selepas mendengar berita berkenaan dan juga untuk mengecam mayat.
Siti Nor Salawati dalam kenyataan mendedahkan bahawa berdasarkan keterangan dari anak mangsa, bapanya yang berusia 58 tahun itu menyerahkan semua barang peribadinya iaitu Mykad, kad bank serta beg duit kepada ibunya dan dipercayai keluar rumah sekitar pukul 3.30 petang semalam tetapi tidak memaklumkan hendak ke mana.
“Mangsa mempunyai sejarah sakit Parkinson dan mengalami masalah mental lebih kurang 13 tahun.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tidak ada sebarang unsur jenayah ditemui terhadap mayat mangsa sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya.
Kredit: Harian Metro