fbpx

Seorang penuntut Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Masjid Tanah dilaporkan maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan terjatuh sebelum dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Lubok China, Masjid Tanah pada petang Isnin.

Dalam Perjalanan Pulang Ke Asrama Selepas Cuti Raya

Mangsa yang bernama Muhammad Izzul Irsyad Muhammad Nizam, 30, difahamkan sedang dalam perjalanan ke asramanya selepas pulang bercuti untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di Pahang.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah iaitu Superintendan Ashari Abu Samah, beliau memaklumkan bahawa kemalangan berlaku kira-kira jam 4.20 petang ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Pekan Lubok China menghala ke Ramuan China Kechil.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan tercetus apabila mangsa yang tiba di tempat kejadian hilang kawalan dan terjatuh akibat permukaan jalan raya yang licin kerana hujan sebelum mangsa dirempuh oleh sebuah kereta Honda City dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu mangsa cedera di kepala dan perut dan disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan oleh pegawai perubatan yang tiba. Pemandu kereta berusia 42 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Ashari turut memberitahu mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kenderaan terbabit ditahan di Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]