Hiba hati seorang ibu apabila salah seorang daripada dua anaknya, yang termakan keropok disyaki mengandungi racun tikus disahkan meninggal dunia pada pagi Rabu.
Anak Sulung Tidak Dapat Diselamatkan
Memetik laporan Sinar Harian, Muhammad Akil Syauqi, yang merupakan salah seorang daripada dua kanak-kanak yang dilaporkan kritikal selepas termakan keropok tersebut telah meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada pagi Rabu.
Ibunya, Nurain, menyatakan bahawa anaknya menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.40 pagi.
“Abang (Muhammad Akil Syauqi) sudah tiada (meninggal dunia) ketika menerima rawatan. Urusan bedah siasat akan dijalankan dan jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kulim untuk disemadikan,” katanya dengan nada pilu.
Sementara itu, adik Muhammad Akil Syauqi, iaitu Muhammad Luth Syauqi, yang berusia 2 tahun, masih menerima rawatan di hospital yang sama dan belum sedarkan diri sehingga kini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa dua beradik iaitu Muhammad Akil Syauqi dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, berada dalam keadaan kritikal selepas makan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.
Dalam insiden tersebut, kedua-dua kanak-kanak itu disedari oleh ibu mereka dalam keadaan mulut berbuih dan muntah di atas katil rumah selepas termakan keropok yang dicampur dengan racun tikus.
Racun jenis serbuk itu dipercayai digunakan oleh penduduk kampung untuk memerangkap haiwan liar, terutamanya monyet, yang sering merosakkan tanaman dan mengganggu ketenteraman penduduk.
Kredit: Sinar Harian