Dua beradik lelaki di mana masing-masing berusia dua dan tiga tahun dilaporkan kini dalam keadaan kritikal selepas termakan keropok yang mengandungi racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, semalam.

Menurut laporan, kejadian tragis itu berlaku berhampiran rumah mereka di Kampung Banggol Berangan, Labu Besar. Makanan ringan yang disangka selamat itu rupa-rupanya mengandungi racun yang berbahaya, menyebabkan kedua-dua kanak-kanak tersebut mengalami keracunan serius.

Dua Beradik Kini Kritikal

Ketua Polis Daerah Kulim iaitu Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi memaklumkan bahawa, kejadian tersebut disedari oleh ibu mangsa, seorang wanita berusia 25 tahun, pada jam 11 pagi di rumah mereka. Beliau kemudian segera membawa kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Malau sebelum mereka dirujuk ke Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar. Keropok tersebut mengandungi racun yang digunakan untuk perangkap monyet, dipercayai milik penduduk berhampiran rumah mereka.

“Kedua-dua mangsa dikatakan membuka dan memakan makanan ringan itu tanpa menyedari ia beracun. Tidak lama kemudian, ibu mereka mendapati anak-anaknya muntah dan mulut mereka berbuih sekitar jam 11 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azizul menambah bahawa hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan di HK mendapati keadaan dua beradik tersebut sangat kritikal. Mereka kemudian segera dipindahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lebih lanjut.

“Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 yang berkaitan dengan pengabaian terhadap kanak-kanak serta Seksyen 284 Kanun Keseksaan. Pihak polis kini sedang berusaha mengesan suspek, dipercayai jiran mangsa, untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]