Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta jenis Toyota Vios yang dipandunya diserang oleh sekumpulan gajah liar dalam kejadian di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada malam tadi.

Video di bawah:

https://x.com/perakpress/status/1924871008978362863?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw

Lelaki Trauma Diserang Gajah Liar, Kongsi Detik Cemas Selamatkan Diri

Insiden berlaku sekitar jam 8.15 malam ketika mangsa, Faizal Mohamad, 39, dalam perjalanan seorang diri dari Kampung Guchil, Kuala Krai menuju ke Alor Setar, Kedah bagi menziarahi saudara yang meninggal dunia.

Menurut Faizal, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia terlihat sekumpulan enam ekor gajah sedang melintas jalan dan segera memberhentikan kenderaan serta mematikan lampu bagi memberi laluan kepada haiwan berkenaan.

Namun suasana berubah menjadi cemas apabila sebuah lori dari arah belakang dipercayai memandu laju, sekali gus menyebabkan gajah-gajah itu terkejut dan bertindak agresif.

“Tiga daripada gajah itu tiba-tiba menghampiri kereta saya lalu menghentak bahagian hadapan dan sisi, menyebabkan enjin mati dan pintu hadapan rosak,” katanya.

Dalam keadaan panik, Faizal bergegas ke tempat duduk belakang sebelum melarikan diri melalui pintu sebelah kiri. Akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan ringan di lutut dan matanya turut dimasuki serpihan kaca.

Katanya, dia sempat meminta bantuan pengguna jalan raya yang lain namun rata-rata enggan menghampiri kerana gajah masih berkeliaran di lokasi.

Beberapa minit kemudian, sebuah lori yang melalui kawasan itu bertindak membaling mercun bagi menghalau haiwan terbabit, yang kemudiannya beredar ke dalam hutan.

Selepas memastikan keadaan selamat, Faizal kembali menghidupkan enjin kereta dan terus memandu ke Balai Polis Gerik yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian untuk membuat laporan. Dia kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Gerik bagi mencuci matanya yang terkena kaca.

Faizal turut meluahkan rasa syukur kerana terselamat dan menyatakan ini merupakan pengalaman pertamanya berdepan dengan gajah liar meskipun sudah lapan tahun kerap menggunakan laluan tersebut.

Kredit: X Perak Press, Harian Metro

[fbcomments]