fbpx

Akibat sofa terbakar, enam beradik nyaris hilang nyawa kerana terperangkap di dalam rumah berkunci dalam kebakaran di sebuah rumah yang terletak di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor sebelum berjaya diselamatkan pasukan bomba pada Isnin semalam.

Enam Beradik Ditinggalkan Dalam Rumah Berkunci

Memetik laporan Berita Harian, difahamkan kesemua kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan dua hingga 11 tahun itu dikatakan ditinggalkan dalam rumah berkunci kerana ibu bapa mereka ke hospital.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor iaitu Ahmad Mukhlis Mukhtar, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian daripada jiran tetangga pada jam 11.15 pagi.

Kata Mukhlis, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh bersama tujuh orang pegawai serta anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, anggota terpaksa memotong jeriji besi pintu hadapan untuk masuk ke dalam rumah. Kebakaran membabitkan sofa di ruang tamu. Pasukan segera memadamkan kebakaran dan mendapati terdapat enam kanak-kanak terdiri daripada empat perempuan dan dua lelaki kembar di dalam rumah itu,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mangsa Selamat Dan Sudah Diserahkan Kepada Ibu Bapa

Tambah Mukhlis lagi, kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan struktur bangunan. Berdasarkan maklumat awal yang diterimanya, difahamkan kesemua kanak-kanak terbabit ditinggalkan di rumah kerana ibu mereka membawa bapa mendapatkan rawatan penyakit jantung di hospital berdekatan.

Kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sudah diserahkan kepada ibu bapa mereka.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]