Hati saya luluh bila terpaksa beri anak kecil minum teh o gantikan susu yang kehabisan, demikian luahan hati seorang ibu kepada dua anak yang masing-masing berusia setahun dan dua tahun di Kampung Cabang Tiga, di sini.
Siti Hajar Musa berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana itu adalah pilihan terbaik buatnya selepas hilang mata pencarian semenjak PKP dilaksanakan akibat penularan wabak Covid-19.
“Saya hanya mampu berdoa agar wabak Covid-19 segera tamat agar dapat keluar bekerja seperti biasa,” katanya yang bekerja sebagai pembantu gerai jualan di pasar malam.
Suami cacat penglihatan
Suaminya pula cacat penglihatan dan tidak bekerja hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.
Dia yang hanya bergaji RM25 setiap kali bekerja berkata, mereka kini terpaksa mengikat perut dan makan apa yang ada sahaja.
“Setakat ini saya dan suami sanggup berlapar, tetapi bila memikirkan anak-anak yang masih kecil itu yang membuatkan kami sedih.
Bukan niat meraih simpati
“Bukan niat kami untuk meraih simpati, tetapi ini yang sedang kami lalui sekarang sepanjang PKP dilaksanakan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BSN Siti Hajar ( 0301641000028674).