Bencana banjir yang melanda wilayah Aceh sejak 22 November lalu akibat Badai Senyar mengakibatkan keadaan kritikal di pelbagai kawasan, termasuk banjir lumpur dan tanah runtuh.
Difahamkan setakat ini, laporan media tempatan menyatakan 47 kematian, 19 individu masih hilang, manakala puluhan ribu penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara untuk mengelakkan risiko keselamatan.
![]()
Bencana Banjir di Aceh, Malaysia Sumbang Bantuan Perubatan Berskala Besar
Banjir yang berlaku bukan sahaja menjejaskan kediaman penduduk, malah merosakkan jalan raya dan infrastruktur asas, menyukarkan penduduk untuk berpindah atau mendapatkan bantuan. Pusat pemindahan kecemasan kini menempatkan ribuan mangsa yang kehilangan rumah dan harta benda, di mana keperluan asas seperti makanan, air bersih, dan rawatan perubatan menjadi kritikal.
Dalam usaha meringankan penderitaan mangsa terlibat, Malaysia menghantar bantuan perubatan berskala besar pada Sabtu lalu. Bantuan ini melibatkan sekumpulan doktor serta dua juta unit ubat-ubatan dan peralatan perubatan dengan jumlah berat kira-kira dua tan, dihantar menggunakan pesawat kargo khas dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda, Blangbintang, Aceh Besar. Penghantaran ini disalurkan oleh Gomez Medical Services bersama pasukan kemanusiaan Blue Sky Rescue Malaysia.
![]()
Gabenor Aceh, Muzakir Manaf, menyatakan penghargaan terhadap sumbangan rakyat Malaysia yang dianggap penting untuk membantu mangsa bencana, khususnya dalam menyediakan rawatan perubatan segera.
Respons penduduk tempatan melalui media sosial juga menunjukkan rasa terharu dan berterima kasih atas keprihatinan Malaysia yang bertindak pantas.
Kredit: Sinar Harian