Bad Indigo, 48 mengaku sudah 2 tahun dia tidak ke bazar Ramadan meskipun rindu akan suasana tersebut. Hal ini kerana, tiada kemudahan tempat letak kereta bagi Orang Kuran gUpaya (OKU) disediakan di kawasan berkenaan.
Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah berkata, keadaan fizikalnya yang terbatas dan perlu bergerak menggunakan kerusi roda sedikit sebanyak menyulitkan hasratnya itu.
“Saya cuma rindu suasana nak ke bazar Ramadan kerana dengan keadaan saya sekarang, memang susah nak jejak ke bazar kerana tiada kemudahan parking OKU.”
“Bukan apa, kadang tengok orang muat naik gambar pergi bazar, timbul pula rasa rindu nak ke sana,” ketika dihubungi mStar.

Menurut laporan mStar, perkara tersebut kerana dia sudah tidak larat untuk berjalan jika terpaksa parkir kereta di kawasan jauh. Ditambah lagi dengan keadaan dirinya yang memakai walker.
Sekarang dirinya dibantu rakan-rakan jika dia ingin membeli juadah di bazar ramadan. Bad yang bekerja sebagai pegawai jualan dan pemasaran di Reiber Auto Bukit Permai, Ampang berkata dirinya dibantu oleh orang sekeliling yang sudah mengenalinya.
Bad juga berharap agar pihak berkuasa lebih peka mengenai kemudahan untuk OKU di Malaysia.
“Saya tahu bukan mudah untuk pihak berkuasa menyediakan parking OKU di bazar Ramadan. Namun, sekiranya ada pihak-pihak yang boleh melihat akan masalah ini, saya harap mereka dapatlah lakukan sesuatu.”
“Sebelum saya jadi OKU, saya sendiri tidak tahu individu OKU berdepan banyak masalah. Contohnya kalau saya ke pusat beli-belah, banyak kedai yang sukar untuk saya masuk sebab sempit.”
“Jadi saya akui kemudahan OKU di negara kita sebenarnya masih belum meluas dan mungkin kurangnya kesedaran tentang perkara ini.”
Sekadar info, Bad terpaksa menjalai pembedahan secara berperingkat memotong jari kakinya yang luka akibat penyakit diabetes di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Biarpun kini pergerakannya terbatas. Bad sedaya upaya cuba menguruskan diri sendiri tanpa mahu menyusahkan individu lain.
Sumber: mStar