Hasil siasatan terhadap kematian seorang Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengesahkan tiada bukti menunjukkan wujudnya sebarang penderaan sepanjang latihan dijalankan.

Siasatan Sahkan Pegawai Kadet PALAPES Meninggal Dunia Tanpa Kesan Kecederaan

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dapatan itu dibuat berdasarkan laporan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi meneliti insiden berkenaan, selain disokong hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kota Tinggi.

“Pemeriksaan forensik mengesahkan tiada kesan kecederaan pada tubuh Allahyarham, dan ini selari dengan hasil siasatan pihak polis,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tahun 2025 di Wisma Perwira, hari ini.

Menurut beliau, semua saksi termasuk pegawai serta rakan pelatih menafikan berlaku sebarang aktiviti berbentuk penderaan ketika latihan berlangsung dari 27 Julai hingga 2 Ogos lalu.

Mohamed Khaled turut menjelaskan bahawa bantuan awal telah diberikan oleh paramedik tentera mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebaik sahaja mangsa memerlukan rawatan.

Bagaimanapun, punca sebenar kematian hanya akan dapat dipastikan selepas laporan penuh perubatan dikeluarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan. Beliau menegaskan, sekiranya ada unsur jenayah atau penderaan ditemui kelak, Kementerian Pertahanan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Kredit: Kosmo!

[fbcomments]