Menteri Komunikasi iaitu Fahmi Fadzil meminta Suruhanjaya dan Multimedia (MCMC) untuk mengambil tindakan yang bersesuaian terhadap video yang dimuat naik oleh usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri di media sosial baru-baru ini.
Video Aliff Syukri Telah Timbulkan Rasa Kurang Senang Kepada Netizen
Memetik laporan Sinar Harian, difahamkan beliau telah mendapat pelbagai maklum balas daripada netizen yang memintanya untuk mengambil tindakan berhubung klip video yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat, terutamanya dalam bulan mulia ini.
“Saya telah menonton sebahagian video yang telah dimuat naik dan saya telah minta MCMC untuk meneliti perkara ini dan mengambil tindakan bersesuaian… tetapi pada masa sama, ramai yang mungkin mengambil maklum keputusan Datuk Seri Aliff Syukri untuk tidak memuat naik (klip penuh) video tersebut. Buat masa ini, kita biarkan dahulu,” katanya kepada pemberita.
Fahmi Nasihat Agar Kandungan Dihasilkan Sesuai Dengan Semua Lapisan Umur
Dalam pada itu, Fahmi turut menasihati kepada mana-mana pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial agar menghasilkan kandungan yang bersesuaian dengan semua lapisan umur, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
“Kita perlu memikirkan kandungan yang kita hasilkan dengan lebih mendalam sama ada sesuai memandangkan pada waktu ini, kita tidak tahu (sama ada) yang menonton kandungan itu berumur 90 tahun, 19 tahun atau sembilan tahun.
“Kerajaan bimbang dengan kandungan yang boleh mendatangkan kesan negatif terutama kepada kanak-kanak di bawah 13 tahun. Pada masa ini, pihak media sosial ambil sikap lepas tangan, mereka cuma meletakkan verifikasi yang dengan mudah sesiapa sahaja boleh berbohong tentang umur mereka,” jelasnya.
Oleh yang demikian, Fahmi memaklumkan bahawa pihaknya akan bertemu dengan tiga pengendali media sosial dalam tempoh terdekat bagi membincangkan hal berkenaan.
“Khamis ini saya akan bertemu dengan pihak Telegram dan pada hari Isnin pula saya akan bertemu dengan Meta serta TikTok. Kita mungkin perlu membuat beberapa keputusan untuk memastikan platform media sosial selamat digunakan dan tidak akan digunakan oleh kanak-kanak di bawah 13 tahun,” ujanya di akhir kata.
Terdahulu, Aliff Syukri telah memuat naik satu klip video di media sosialnya yang memaparkan sekumpulan lelaki menari menggeletis sehingga menimbulkan rasa kurang senang masyarakat terhadap video yang dikongsikan.
Bagaimanapun, Aliff Syukri telah memadamkan video terbabit selepas menerima kecaman hebat dari netizen dan juga teguran dari ibunya sendiri. Bahkan beliau juga mengatakan bahawa video klip yang dikongsikan itu adalah jenaka April Fool semata-mata.
Kredit: Sinar Harian