Filem tempatan yang menjadi perbualan hangat dikalangan rakyat Malaysia baru-baru ini iaitu Sheriff: Narko Integriti telah mendapat sambutan luar biasa oleh penduduk tempatan.
Namun apabila filem ini dibawa keluar ke negara jiran, difahamkan filem ini tidak mendapat sambutan seperti yang dijangka.
Filem Sheriff Telah Diturunkan Secara Drastik
Menerusi perkongsian daripada pengarah filem tersebut iaitu Syafiq Yusoff di laman X, beliau memaklumkan bahawa banyak tayangan filem arahannya itu di Indonesia telah diturunkan secara drastik kerana filem Sheriff tidak mendapat sambutan di negara terbabit.
“Filem Sheriff tidak mendapat sambutan di Indonesia. Jadi, banyak tayangan telah diturunkan secara drastik. Apa-apa pun, saya berterima kasih kepada CGV Cinemas kerana membuka pintu dan memberi peluang untuk filem Malaysia ditayangkan di sana .Terima Kasih Indonesia”, tulis Syafiq, yang kini sudah memadamkan perkongsiannya itu.
Warga Indonesia Pelik Tayangan Sheriff Tidak Ada Di Pawagam
Syafiq berkongsi tentang perkara itu setelah terdapat beberapa netizen dari Indonesia di laman X yang mengatakan waktu tayangan filem berkenaan telah hilang dari jadual tayangan pawagam sebuah pusat beli belah di negara itu secara tiba-tiba.
Syafiq bagaimanapun tetap mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak CGV Cinemas di sana kerana telah memberi peluang untuk filem Malaysia ditayangkan di sana.
Kredit: Harian Metro