fbpx

Setiap individu mengimpikan untuk memperoleh kerjaya yang hebat agar dapat dihormati ramai. Namun tidak bagi pemuda ini yang lebih memilih kerjaya sebagai penggali kubur dari bekerja di pejabat atau mempunyai profesion yang lebih gah.

Tidak Kejar Wang, Kerja Sebagai Penggali Kubur Dapat Dorong Keinsafan

Berdasarkan sumber yang dipetik dari Berita Harian, difahamkan Muhammad Jailani Ahmad Zawawi, 34, membuat keputusan untuk bekerja sebagai penggali kubur sejak 15 tahun lalu atas sebab kepuasan dan tanggungjawab yang beliau mahu galas. Difahamkan, beliau mengakui zaman remajanya beliau agak nakal, namun bekerja sebagai penggali kubur ini telah banyak mengubah kehidupannya menjadi individu yang lebih baik dan matang.

Pada awal pembabitannya, beliau hanya membantu bapanya yang banyak bekerja sukarelawan di sekitar Batang Benar termasuk bantuan pengurusan jenazah.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya pernah bekerja di pasar borong dan di pelantar minyak. Ketika zaman remaja, saya boleh dikategorikan sebagai agak nakal. “Ketika itu solat memang tunggang langgang dan selalu keluar melepak dengan kawan. Boleh dikatakan keluar pagi, balik pagi,” katanya ketika ditemu bual media.

Jadi Penggali Kubur Sejak Umur 18 Tahun

Menurutnya lagi, beliau menjadi penggali umur sejak berumur 18 tahun kerana dipaksa oleh bapanya supaya membantu pihak kariah Masjid Batang Benar iaitu tempat asal beliau.

“Selepas beberapa tahun, saya mula arif bab menggali kubur dan bermula pada 2014 saya bergerak sendiri dengan menjadikan gali kubur sebagai fokus utama. Memang diakui selepas menjadi penggali kubur, saya banyak berubah. Saya lebih bertanggungjawab, sentiasa dalam keadaan bersiap sedia dan paling penting ia mengingatkan kita kepada mati.

“Malah, kini boleh dikatakan saya menjaga solat lima waktu. Walaupun tanpa gaji pokok dan hanya mengharapkan sagu hati daripada pihak masjid, namun saya puas kerana dapat membantu. Kadang-kadang sedang tidur pada waktu malam, imam masjid hubungi supaya gali kubur, saya terus bangun dan bersiap,” kata anak jati Batang Benar itu.

Sementara itu, Muhammad Jailani turut memaklumkan jika tiada kematian, beliau akan mengambil upah bekerja kampung seperti menebas pokok dan memotong rumput bagi mengisi masa dan mencari pendapatan sampingan.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]