Seorang Pegawai Muda Kor Diraja (KRD) dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, (HSI), Johor Bahru akibat dipercayai mempunyai simptom strok haba.
Maut Akibat Strok Haba
Berdasarkan sumber yang dipetik dari Harian Metro, Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, 24, mengalami pitam dan mula tidak sedarkan diri ketika menjalani kursus tempur pegawai muda di Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Kota Tinggi, Johor pada Jumaat lalu. Difahamkan, Allahyarham adalah antara 10 anggota dan pegawai yang mengalami simptom strok haba ketika latihan tersebut dan kemudian beliau dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Kini, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Tasik Puteri pada semalam, Ahad.
Salam Takziah Buat Keluarga Allahyarham
Menurut sumber lagi, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan turut hadir ke majlis pengebumian. Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan bahawa Muhammad Hafizuddeain telah bertemu dengan ibu bapa arwah untuk memberi kata-kata semangat.
“Panglima Tentera Darat memberikan kata-kata semangat serta menyampaikan salam takziah selain menitipkan supaya keluarga tabah dengan ketentuan Ilahi,” ujarnya.
Terdahulu, tiga daripada 10 penuntut yang menjalani kursus tempur pegawai muda di lapang sasar kem PULADA dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana memerlukan rawatan rapi manakala tujuh peserta dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas dipercayai mengalami simptom strok haba.
Kredit: Harian Metro