Seorang jemaah wanita dilaporkan meninggal dunia sebaik selesai membaca surah Yasin ketika solat Maghrib di Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah pada Khamis semalam.
Tidak Sedarkan Diri, Kemudian Meninggal Dunia
Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik oleh @Masjid Negeri Masjid Zahir, Kedah Darul Aman di laman Facebook, difahamkan bahawa Allahyarhamah Rosnah Ramil, berusia 60 tahun, dipercayai tidak sedarkan diri dan keadaan ini disedari oleh jemaah wanita yang berada berhampirannya.
Perkhabaran tentang pemergian Allahyarhamah turut disahkan oleh pihak masjid menerusi hantaran yang dibuat di laman Facebook rasmi mereka.
“Menjadi saksi kepada sebuah pengakhiran hidup yang sangat baik dan mulia. Dijemput ALLAH usai membaca doa Yasin. Terdahulu, dalam keadaan berpuasa sunat, berbuka puasa di Masjid Negeri bersama suami tercinta, bersolat Maghrib berjemaah dan membaca Yasin.
“Kembalilah wahai jiwa yang tenang. Kematian yang husnul khotimah. Menjadi pengajaran, iktibar dan pedoman buat kami semua yang masih hidup,” ujar hantaran berkenaan pada Jumaat.
Hantaran tersebut telah meraih perhatian ramai, di mana beberapa foto turut dikongsikan memaparkan keadaan Allahyarhamah yang terbaring di ruangan solat wanita, menambahkan lagi rasa hiba di kalangan netizen.
Difahamkan, Allahyarhamah Rosnah merupakan seorang jemaah yang setia dan aktif menghadiri solat berjemaah di masjid tersebut bersama suaminya. Kehadirannya yang konsisten dalam setiap aktiviti masjid menjadikan pemergiannya satu kehilangan besar buat komuniti setempat.
Pihak masjid memaklumkan bahawa jenazah Allahyarhamah dijangka akan dikebumikan pada pukul 11 pagi di Kampung Telaga Mas, Pokok Sena.
Kredit: Facebook Masjid Negeri Masjid Zahir, Kedah Darul Aman