Seorang bapa sedih tercengang apabila tiga orang anaknya terlibat dalam nahas ketika hendak membeli aiskrim di luar rumah.
Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari semalam, tiga beradik tersebut maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan MPV di Kilometer 7, Jalan Benta-Lamir, Kampung Langgar, di sini.

Teringin Makan Aiskrim Dan Ayam Goreng, Tak Sangka Itu Permintaan Terakhir
“Anak saya Nik Nur Faqihah dan Nik Ikram Nuqman teringin makan aiskrim. Jadi mereka minta izin daripada isteri saya untuk keluar bersama abang, Nik Ikram Idwan. Tak sangka itu permintaan terakhir sebelum saya kehilangan tiga anak serentak”, luah Nik Mohd Khairul Hisyam Derahman kepada media Harian Metro.
Menurut bapa mangsa lagi, disebabkan arwah anaknya teringin makan ayam goreng, isterinya Nur Baizura Mustaffa juga gigih menyediakan lauk ayam goreng ketika tiga beradik itu keluar membeli aiskrim.
“Saya seolah tidak percaya apabila isteri menghubungi memberitahu tiga anak kami maut dalam kemalangan, namun apabila melihat gambar mereka, hati saya begitu sayu”, jelas bapa mangsa.

Terlalu Berat Ujian Buat Sekeluarga
“Dalam sekelip mata, tiga daripada lima anak saya meninggalkan kami tanpa disangka, terlalu berat ujian yang terpaksa saya dan isteri terima”, katanya ketika ditemu bual di Unit Forensik Hospital Pekan, Ahad semalam.
Menurut sumber Harian Metro, ketiga-tiga mangsa disahkan maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangi terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV terbabit yang datang dari arah hadapan.
Kata Khairul, kejadian ini adalah sejarah hitam dalam hidupnya dan ia memang sukar untuk diterima.
Kredit: Harian Metro