Tiga anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dipindahkan serta-merta daripada unit berkenaan susulan dakwaan salah laku ketika menjalankan serbuan di sebuah kediaman di Damansara.

Tiga Anggota Polis Dipindahkan Susulan Dakwaan Salah Laku Dalam Serbuan

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, yang memaklumkan siasatan dalaman kini sedang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bagi meneliti sebarang pelanggaran tatatertib melibatkan anggota terbabit.

“Ketiga-tiga anggota terbabit telah diarahkan bertukar ke jabatan lain sementara siasatan berjalan bagi memastikan proses berjalan lancar dan telus,” katanya.

Tindakan itu diambil selepas tular sebuah video di laman Facebook memaparkan situasi serbuan Ops Tapis yang dijalankan pasukan BSJN IPD Petaling Jaya di kawasan Pelangi Damansara pada 10 Oktober lalu.

Menerusi video berkenaan, individu yang memuat naik rakaman mendakwa wujud pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak polis ketika operasi dijalankan, selain turut menuduh berlaku unsur pemerasan serta tindakan kasar termasuk kerosakan pada kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut.

Mengulas lanjut, Hussein berkata pihak polis memandang serius dakwaan terbabit dan memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat kesalahan.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam salah laku. Kita akan pastikan siasatan dijalankan dengan adil dan profesional,” tegas beliau.

Kredit: Harian Metro

 

 

[fbcomments]