fbpx

Seorang suspek utama dalam kes pembunuhan dan pembakaran rumah yang meragut nyawa ibu bapa serta anak saudaranya di Kampung Paya Redan, telah berjaya diberkas oleh pihak polis pada pagi Rabu.

Tangkapan tersebut dilakukan susulan insiden yang berlaku pada Jumaat lalu, di mana suspek yang berusia 48 tahun itu dipercayai melarikan diri selepas rumah keluarganya terbakar dalam satu kejadian tragis.

Suspek Berjaya Diberkas

Menurut Ketua Polis Daerah Muar iaitu Raiz Mukhliz Azman Aziz, suspek yang juga merupakan anak sulung kepada pasangan suami isteri yang menjadi mangsa, dijadualkan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Muar pada pagi Rabu untuk mendapatkan perintah reman.

Walaupun maklumat lanjut mengenai penahanan itu masih belum didedahkan, Raiz Mukhliz mengesahkan bahawa kenyataan media akan dikeluarkan selepas proses reman dijalankan.

Difahamkan kejadian malang tersebut berlaku sekitar jam 1.30 pagi pada Jumaat, di mana tiga nyawa terkorban dalam kebakaran rumah tersebut.

Mangsa yang terkorban termasuklah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, isterinya Ara Abd Hamid, 76, serta cucu mereka, Noradriana Nor Hasyim, 11.

Pasangan warga emas itu dilaporkan maut di lokasi kejadian, manakala cucu mereka menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Jenazah Noradriana telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan pada hari Sabtu.

Bagaimanapun, jenazah datuk dan neneknya masih berada di Unit Forensik HPSF untuk proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan keadaan mayat yang rentung hampir 80 peratus.

Pihak berkuasa telah mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, setelah mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh ketiga-tiga mangsa yang terkorban dalam insiden tersebut.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]