Dua wanita dan seorang bayi lelaki yang baru lahir cedera akibat dilanggar sebuah kereta di hadapan pintu lobi sebuah hospital swasta di Kota Damansara dekat sini, Sabtu.
Dalam kejadian itu, dua wanita dengan seorang daripadanya duduk di kerusi roda bersama bayinya sedang menunggu kenderaan waris di tempat mengambil dan menurunkan penumpang di hadapan lobi hospital terbabit.
Sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang berada berhampiran secara tiba-tiba memecut laju dan merempuh semua mangsa serta tiga kenderaan lain yang berada berhampiran.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata ketika kejadian pemandu terbabit yang sedang menunggu anaknya keluar dari lobi hospital dikatakan tertekan pedal minyak sebaik ternampak anaknya keluar ke tempat menunggu.
“Kereta berkenaan kemudian merempuh ketiga-tiga mangsa serta tiga kereta lain yang turut berada di situ.“
“Dua wanita masing-masing berusia 30 dan 35 tahun serta bayi lelaki berusia sehari cedera dalam kejadian itu. Semua mereka kini sedang dirawat di zon merah hospital berkenaan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.”
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
Difahamkan, ketika kejadian pemandu berkenaan mahu mengambil anak perempuannya yang baru lepas bersalin di hospital berkenaan.