Kejadian mengejutkan baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang pelajar Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) didakwa menekap seterika panas pada tubuh rakannya.
Pelajar tersebut, Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, yang berusia 22 tahun dan juga merupakan Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di universiti itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Egusra Ali sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.
Tekap Seterika Panas Di Dada Rakan
Amirul didakwa atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, yang berusia 20 tahun, menggunakan seterika wap panas pada sekitar jam 11.45 malam di ALK UPNM, Kem Sungai Besi.
Berdasarkan pertuduhan, tindakan itu membawa kepada kecederaan pada mangsa di bahagian dada kanan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda, sebatan, atau mana-mana kombinasi hukuman tersebut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Selepas mendengar permohonan, mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000 yang perlu disertakan dengan dua penjamin. Kes ini kemudiannya dijadualkan untuk sebutan semula pada 27 Disember.
Menurut keterangan, kejadian tersebut berlaku pada 22 Oktober lalu, apabila mangsa mendakwa dia telah diminta oleh seorang pegawai senior untuk menggosok pakaian tertuduh. Namun, situasi itu berubah apabila Amirul secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang oleh mangsa dan menekapnya pada dada kanan mangsa, menyebabkan kecederaan.
Peristiwa ini bukan sahaja mengejutkan komuniti UPNM tetapi juga menimbulkan persoalan mengenai tahap disiplin dan etika dalam hubungan senior-junior di universiti tersebut.
Kredit: Berita Harian