Baru-baru ini, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah meminta syarikat pengendali sistem Touch ‘n Go (TNG) untuk mengambil enam tindakan segera bagi menyelesaikan isu berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan.
Satu Mesyuarat Pasukan Tugas Khas yang telah dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof telah diadakan bersama dengan pegawai dari Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Suruhanjaya Persaingan Malaysia dan wakil syarikat TNG pada 25 Januari 2023.
Antara perkara yang telah dibincangkan ialah:
1. Menukar nama kad visa TNG supaya tidak mengelirukan pengguna.
Ini kerana penggunaan perkataan ‘Touch ‘n Go’ sinonim dengan sistem pembayaran tol tidak sesuai digunakan untuk kad visa TNG yang hanya untuk tujuan pembelian barangan dan perkhidmatan serta pengeluaran wang.
2. Menambah bilangan pusat jualan kad dan perkhidmatan kad TNG.
Tindakan ini adalah untuk mengatasi kesukaran untuk memperolehi kad TNG dan peranti Smart Tag di pasaran.
3. Memberi notifikasi awal kepada pengguna bagi pemakluman tempoh kad yang akan luput.
Hal ini kerana tempoh tamat kad TNG yang tidak disedari oleh pengguna terutama untuk mereka yang menggunakan MyKad.
4. Menambah baik dan mempercepatkan proses untuk tempoh bayaran balik dan pemindahan baki ke kad TNG yang baharu.
Ramai yang masih berdepan dengan kesukaran mendapatkan bayaran balik baki wang dalam kad TNG.
5. Menambah baik keupayaan teknologi imbasan RFID bagi mengelakkan kesesakan.
Salahuddin berkata, pihak KKR juga sedang meneliti tempoh pelaksanaan bagi penggunaan pembayaran tol menggunakan sistem RFID sepenuhnya di semua plaza tol.
6. Menurunkan iklan jualan kad TNG daripada pihak ketiga yang tiada kebenaran menjualnya.

Bahagian Penguatkuasaan KPDN akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menjual kad TNG melebihi harga ditetapkan oleh pengeluar di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Pihak TNG telah diberi tempoh satu minggu untuk tampil dengan pelan tindakan susulan berkaitan isu perkhidmatan yang telah dibincangkan.
Sumber: Buletin TV3