Seorang budak lelaki yang dikenali sebagai Mohammad Adam Naufal Abdullah, 10, telah menjadi mangsa lecur apabila sebuah tong cat dari penyewa lama meletup secara tiba-tiba dan terkena tepat ke muka mangsa. Difahamkan, kanak-kanak tersebut melecur di bahagian muka dan kedua-dua belah tangan.

Kenapa Muka Adam Macam Ni..
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Harian Metro, kanak-kanak tersebut kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru akibat kelecurannya mencecah 16 peratus disebabkan disambar api dari tong cat yang meletup dalam timbunan sampah di Kampung Tengah, Kluang.
Lebih memilukan apabila anak ini meluahkan rasa sedih dan mempersoalkan mengenai perubahan mukanya yang sedang berbalut itu.
“Kenapa muka Adam macam ni, tak macam dulu.. Itu yang dia cakap pelik (muka berbalut). Tak tahu sampai bila akan duduk di wad sebab setiap hari jururawat akan cuci kesan lecur”, luah si ibu.

Muka Melecur Sehingga 16 Peratus Akibat Disambar Api Dari Tong Cat
Menurut ibu mangsa iaitu Nurul Atikah Mohd Halim, 28, beliau memberitahu bahawa muka dan kepala anaknya ketika ini perlu dibalut lagi bagi mengelakkan sebarang jangkitan lain akibat kecederaan yang dialaminya. Beliau turut berkongsi kisah dimana ketika hari kejadian, beliau membawa Adam mengemas rumah sewa baharu mereka dan meminta Adam untuk membuang kotak untuk dibakar sebelum ia tiba-tiba meletup.
“Penyewa sebelumnya meninggalkan barang dan perabot lama, ketika saya meminta Adam membuang kotak untuk dibakar pada timbunan sampah di luar rumah, tiba-tiba saja ada benda meletup. Rupa-rupanya dalam itu ada tong cat. Memang tak jangka pun sebab saya tak selongkar timbunan sampah. Saya panik dan fikir jangan sapu guna krim atau ubat gigi. Masa itu Adam beritahu tangan pedih, saya segera basuh dengan air, rupa-rupanya bahagian muka dia pun teruk,” ujarnya lagi.
Tambah Atikah lagi, doktor perlu mengambil kulit di bahagian paha dan tampal di bahagian yang melecur pada pagi Rabu lepas, namun hasil pemeriksaan mendapati kesan lecur tidak merosakkan kulit. Disebabkan oleh itu, mereka tidak meneruskan prosedur seperti mana yang telah dirancangkan sebelum ini.
Kredit: Harian Metro