fbpx

Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri bertukar tragedi apabila seorang wanita bersama bayinya dilaporkan maut selepas terlibat dalam kemalangan pada Jumaat semalam.

Maut Selepas Bertembung Dengan Lori Tangki

Memetik laporan Majoriti Official, mangsa yang terlibat iaitu Nursyahira Kamaruzaman, 28, dan anak bongsunya, Felkah Nurnadeera yang baru berusia tiga bulan disahkan maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori tangki.

Difahamkan kemalangan tersebut berlaku di Jalan Tanjung Balau-Bandar Penawar berhampiran Taman Sri Penawar, Kota Tinggi, Johor yang melibatkan kenderaan jenis Perodua Myvi dan lori tangki minyak.

Suami mangsa yang juga pemandu kenderaan terbabit iaitu Muhammad Fahmy Ali, 30, selamat dan dirawat di Klinik Kesihatan Bandar Penawar. Manakala dua lagi anaknya, Muhammad Fakhrul Naufal, 8, dan Muhammad Fakhrul Naqil, 5 hanya mengalami kecederaan.

Kedua-Dua Mangsa Tersepit Ketika Kemalangan

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Azlan Mat Sani, beliau memaklumkan bahawa sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat seorang wanita bersama bayinya yang berusia tiga bulan di tempat duduk penumpang hadapan didapati tersepit bersebelahan lori berkenaan.

“Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan ibu dan anak terbabit. Malangnya kedua-dua mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai kesihatan (KKM) yang berada dilokasi selepas dikeluarkan,” katanya.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dengan punca kejadian juga masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Sementara itu, pemandu lori berumur 34 tahun yang terlibat dalam nahas itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]