Tragedi menyayat hati melibatkan seorang bayi lelaki berusia setahun yang maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan dalam nahas di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu lalu kembali membuka mata masyarakat terhadap isu keselamatan kanak-kanak di jalan raya.
![]()
Bayi Setahun Maut Tercampak Keluar, Anthony Loke Ingatkan Kepentingan Child Seat
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ketika diminta mengulas perkembangan kes itu, menegaskan hasil siasatan awal mendapati mangsa tidak berada dalam kerusi keselamatan khas kanak-kanak atau child seat ketika kejadian berlaku. Menurutnya, faktor tersebut menjadi antara punca bayi berkenaan tercampak keluar daripada kenderaan sebelum ditemukan maut di lokasi.
“Saya tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi ini satu peringatan penting kepada semua. Ramai mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi kanak-kanak kerana faktor kos, namun insiden ini membuktikan pentingnya ciri keselamatan itu.
“Bayangkan jika bayi berada dalam kerusi khas, mungkin dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” katanya.
![]()
Dalam insiden sekitar jam 11 pagi itu, kenderaan yang dinaiki mangsa terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah lori muatan lusuh serta beberapa kenderaan lain. Mangsa yang tercampak keluar dilaporkan tersepit di bawah kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mengulas mengenai lori yang terlibat, beliau menjelaskan bahawa kenderaan berat tersebut mempunyai permit sah serta rekod pemeriksaan PUSPAKOM yang masih berkuat kuasa. Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih berjalan selepas pemandu lori mendakwa terpaksa melompat keluar kerana brek gagal berfungsi.
![]()
“Pihak berkuasa sedang meneliti secara terperinci punca sebenar kemalangan. Walaupun lori itu memiliki rekod sah, pengendali tidak boleh mengambil mudah soal keselamatan. Tanggungjawab memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik terletak pada pihak pengusaha,” jelasnya.
Kredit: Harian Metro