Perkelahan sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang bapa bersama dua anaknya ditemukan lemas dalam kejadian di Sungai Jeram Ngenjur, Jalan Batang Kali-Genting pada Ahad semalam.
Bapa Cuba Selematkan Anak Tergelincir, Namun Nyawanya Turut Terkorban
Menurut laporan Buletin TV3, difahamkan bapa serta anak lelakinya lemas ketika cuba menyelamatkan anak perempuan yang tergelincir dalam sungai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor iaitu Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian berlaku ketika tiga mangsa terlibat bersama enam lagi ahli keluarga mereka yang lain sedang beriadah di lokasi terbabit.
“Polis sebelum itu menerima maklumat berkaitan kejadian lemas melibatkan seorang lelaki dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki.
“Kesemua mangsa terlibat berumur antara enam tahun sehingga 41 tahun dipercayai lemas di lokasi kejadian,” katanya.
Ditemukan Lemas Oleh Orang Awam
Berdasarkan hasil siasatan, polis mendapati kejadian berlaku apabila kanak-kanak perempuan telah tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai.
“Bapa mangsa kemudiannya cuba untuk menyelamatkan anak perempuannya itu dan masa sama kanak-kanak lelaki terbabit turut terjun ke dalam sungai tanpa disedari ibunya.
“Kesemua mangsa bagaimanapun lemas sebelum mayat mereka ditemui orang awam kira-kira jam 1.30 petang dan dibawa naik ke tepi sungai,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.09 tengah hari.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan Pelabuhan Klang kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja menyelamat.
“Mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak yang dipercayai lemas ketika mandi di sungai berkenaan.
“Ketiga-tiga mangsa berjaya ditemui pada jam 1.35 tengah hari pada jarak kira-kira 30 meter dari lokasi mereka mandi. Mayat kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Kredit: Buletin TV3