fbpx

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa terdapat penemuan mayat seorang lelaki di sekitar Jambatan Sungai Klang pada malam Rabu, yang kemudiannya dikenalpasti sebagai penyanyi Nidza Afham Mokhtar.

Kehilangan Nidza mula disedari apabila adiknya, Afrina Hanie Mokhtar, membuat laporan polis selepas abangnya tidak pulang ke rumah pada petang Selasa.

Mayat Nidza Afham Ditemui Oleh Pemancing. Kemungkinan Ada Unsur Samun

Menurut Afrina, Nidza keluar dari rumahnya di Bandar Puteri, Klang sekitar jam 7.45 petang untuk berjoging di Stadium Sultan Sulaiman. Namun, kebimbangan mula timbul apabila Nidza gagal dihubungi, dan hanya telefon bimbit serta dompetnya ditemui di lokasi terakhir yang diketahui.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor iaitu Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan bahawa mayat yang ditemui berpakaian gelap dengan nombor 56 tertulis pada bajunya. Mayat tersebut ditemui oleh seorang pemancing di kawasan tersebut, yang kemudian melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Selangor iaitu Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan identiti mayat itu sebagai Nidza Afham Mokhtar dan dikatakan mayat Nidza ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi di mana barang peribadinya, termasuk telefon bimbit dan dompet ditemui.

Lebih mengejutkan, polis mendapati kad ATM milik Nidza hilang dari dompetnya, menimbulkan syak bahawa kehilangan ini mungkin berkait dengan kes samun. Polis percaya bahawa kematian Nidza mungkin ada kaitan dengan insiden tersebut, namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesahkan punca sebenar kematian.

Insiden tragis ini juga menarik perhatian ramai apabila teman wanita Nidza cuba menghubunginya pada pukul 9.04 malam Selasa, tetapi panggilannya tidak dapat disambungkan. Lokasi terakhir keberadaan Nidza dikenal pasti di Jambatan Kota, berhampiran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Difahamkan, Allahyarham akan disolatkan di Masjid Puncak Alam dan akan dikebumikan di tapak perkuburan Felda Bukit Cherakah berhampiran SMK Puncak Alam selepasa solat Zohor hari ini.

Kredit: Majoriti Official, X efaperfume

[fbcomments]