fbpx

Pada bulan Julai yang lalu, Malaysia dikejutkan dengan tragedi memilukan yang melibatkan dua kanak-kanak berusia 2 dan 3 tahun maut selepas dipercayai termakan keropok yang tercemar dengan racun tikus.

Insiden tersebut telah mencetuskan kebimbangan dan kemarahan masyarakat, terutamanya selepas pekebun bernama Encik Uzair Shafawi ditahan reman untuk membantu siasatan. Namun, setelah lebih sebulan berdiam diri di sebalik tuduhan yang mendatangkan fitnah itu, Encik Uzair kini tampil untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku.

Video di bawah:

https://www.facebook.com/share/v/TQqK4q1swopDfShL/

Pekebun Perjelas Perkara Sebenar, Banyak Cerita Diputar Belit

Dalam kenyataan terbaru, beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa beliau bertanggungjawab terhadap tragedi tersebut, sambil menjelaskan bahawa keropok yang tercemar itu tidak diletakkan berhampiran jalan raya atau kawasan perumahan, tetapi di kawasan terpencil di dalam hutan, jauh daripada jangkauan orang awam.

“Keropok itu bukan berada di tempat yang mudah dijumpai. Ia terletak di kawasan yang tidak sering dilalui orang, jauh di dalam hutan menuju kebun pisang saya,” jelas Encik Uzair, menekankan bahawa lokasi tersebut adalah kawasan terpencil yang jarang sekali dilalui oleh sesiapa pun.

Dalam penjelasannya, Encik Uzair turut mempertikaikan kewajaran dakwaan terhadapnya, terutama memandangkan ramai lagi pekebun lain turut mengusahakan kebun di kawasan berkenaan. Namun, beliau mendakwa menjadi mangsa fitnah apabila ahli keluarga dua beradik itu didakwa memutar belit cerita, sehingga mengakibatkan beliau ditahan reman selama lapan hari.

“Secara logiknya, amat sukar untuk membayangkan bagaimana kanak-kanak sekecil itu boleh merayau sejauh itu ke dalam hutan tanpa sebarang pengawasan orang dewasa,” kata Encik Uzair.

Beliau turut mendedahkan bahawa kedua-dua kanak-kanak tersebut sebenarnya sudah lama hidup dalam keadaan terabai, tanpa penjagaan yang sepatutnya. Malah, penduduk setempat dikatakan sudah lama maklum tentang keadaan keluarga kanak-kanak tersebut.

Encik Uzair juga menyangkal dakwaan bahawa beliau cuba melarikan diri selepas kejadian itu berlaku. Menurutnya, beliau hanya berada di kampung mentua untuk menghantar anak dan isteri kerana menjangkakan bahawa dirinya akan ditahan oleh pihak berkuasa.

Kini, setelah melalui pengalaman yang penuh dengan ketidakadilan, Encik Uzair mempersoalkan mengapa penjaga kepada dua kanak-kanak tersebut tidak turut disiasat, memandangkan terdapat unsur pengabaian yang jelas dalam kes ini.

Beliau berharap agar siasatan yang lebih menyeluruh dan adil dapat dijalankan, supaya semua pihak yang terlibat mendapat keadilan yang sewajarnya.

Kredit: Facebook Uzair Shafawi

[fbcomments]