Sebuah perjalanan pulang yang sepatutnya dipenuhi dengan kegembiraan bertukar menjadi tragedi apabila seorang wanita yang sedang menghitung hari untuk melangsungkan perkahwinan dilaporkan maut dalam satu kemalangan jalan raya pada Khamis.
![]()
Tragedi Menjelang Hari Bahagia, Bakal Pengantin Meninggal Dunia Dalam Perjalanan Pulang
Mangsa, Siti Nur Syamira Samsol, 28 tahun, dilaporkan sedang dalam perjalanan bersama tunangnya, Muhammad Aiman Rashid, 30, menuju ke rumah ibunya di Mersing, Johor, apabila insiden berlaku di Kilometer 93.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan.
Difahamkan, kepulangan mereka ke kampung bukan sahaja untuk membuat persiapan terakhir menjelang majlis perkahwinan yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini, malah bagi menghadiri majlis tahlil arwah bapa mangsa.
![]()
Apa yang lebih memilukan, segala persiapan perkahwinan telah disiapkan lebih awal termasuk kad jemputan yang telah pun diedarkan kepada para tetamu. Namun, takdir Ilahi mendahului segala perancangan.
Menurut kenyataan pihak polis, laporan berkenaan kemalangan telah diterima dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang awam yang menyaksikan kejadian turut diminta tampil bagi membantu siasatan.
Kredit: Majoriti Official