fbpx

Kejadian tanah jerlus yang berlaku di kawasan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos lalu telah mengejutkan rakyat Malaysia, yang kini menunggu dengan penuh harapan agar mangsa yang terlibat segera ditemui. Walaupun operasi mencari dan menyelamat telah memasuki hari ketujuh, usaha untuk mengesan mangsa diteruskan dengan penuh komitmen.

Kejadian Tanah Jerlus Jadi “Wake Up Call” Untuk Peluk Islam

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial baru-baru ini menunjukkan detik-detik di mana mangsa tiba-tiba terjatuh ketika sedang berjalan berhampiran sebuah kerusi konkrit yang diduduki oleh beberapa individu. Insiden itu turut melibatkan seorang lelaki lain yang hampir terjatuh, namun berjaya menyelamatkan dirinya daripada terperangkap dalam lubang tersebut.

Memetik laporan Harian Metro, di sebalik insiden tragis ini, terdapat hikmah yang tidak dijangka. Lelaki berbangsa India yang hampir menjadi mangsa tanah jerlus itu dilaporkan telah memeluk agama Islam tiga hari selepas kejadian.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut mengesahkan bahawa mereka telah membantu dalam urusan lafaz syahadah Kalidass, yang kini dikenali sebagai Haridath, di pejabat Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, menjelaskan bahawa Haridath telah lama berniat untuk memeluk Islam, namun insiden hampir terjatuh akibat tanah mendap di Masjid India itu menjadi “wake up call” baginya untuk tidak lagi menangguhkan hasrat tersebut.

Haridath, yang berusia 48 tahun, juga berkongsi detik cemas ketika hampir menjadi mangsa dalam insiden berkenaan. Beliau mendedahkan bahawa mangsa yang terjatuh itu dikenali olehnya kerana kerap melancong ke Malaysia. Semasa kejadian, suami kepada wanita tersebut berjalan tidak jauh di belakangnya, tetapi tidak kelihatan dalam rakaman CCTV.

ABIM berharap masyarakat memberikan ruang kepada saudara baru ini untuk menenangkan diri, serta mendoakan kesejahteraan dan menghormati privasinya dalam menempuh fasa baru kehidupannya sebagai seorang Muslim.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]