Sebuah pesawat pejuang milik tentera udara Bangladesh terhempas ke sebuah sekolah di pinggir ibu negara semalam, mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 mangsa maut dan lebih 170 yang lain cedera.

20 Terbunuh, 170 Cedera Jet Pejuang Terhempas di Sekolah Bangladesh

Insiden berlaku ketika pesawat jenis F-7 BJI buatan China sedang menjalani misi latihan rutin sebelum mengalami kegagalan mekanikal dan terjunam ke kawasan Sekolah dan Kolej Milestone yang terletak di daerah Ashulia, kira-kira 20 kilometer dari Dhaka.

Jurucakap tentera dalam kenyataan memaklumkan juruterbang pesawat, Leftenan Penerbangan Towkir Islam turut terkorban selepas berusaha mengawal pesawat daripada terhempas di kawasan padat penduduk.

“Pesawat berada dalam laluan latihan biasa. Namun, masalah teknikal dikesan sebelum ia hilang kawalan dan melanggar bangunan sekolah dua tingkat,” katanya.

Kebanyakan mangsa yang terkorban merupakan pelajar yang baru sahaja tamat sesi persekolahan. Suasana bertukar panik apabila letupan kuat berlaku dan api marak sejurus pesawat terhempas.

Seorang pelajar yang berada berdekatan lokasi kejadian berkata, dentuman itu mengejutkan semua yang berada di kawasan sekolah.

“Kami sangka gempa bumi berlaku. Bunyi letupan sangat kuat dan semua orang berlari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui media tempatan.

Setakat petang Isnin semalam, sekurang-kurangnya 171 individu dilaporkan cedera, termasuk guru dan kakitangan sekolah. Pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari di lokasi kejadian yang dipenuhi serpihan dan runtuhan.

Pihak berkuasa memaklumkan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas, sementara semua operasi latihan udara digantung sementara bagi memberi tumpuan kepada langkah keselamatan susulan tragedi tersebut.

Kredit: Kosmo!, Majoriti Official

 

[fbcomments]