fbpx

Akibat tidak sempat mengelak kereta yang menukar lorong secara tiba-tiba, sebuah treler telah merempuh 10 buah kenderaan sehingga mengalami kerosakan dalam kejadian di Kilometer 11.1 Lebuhraya Pasir Gudang menghala Perling pada petang Isnin.

Kereta Mercedes Telah Mengubah Laluan Secara Mengejut

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan iaitu Asisten Komisioner Raub Selamat, beliau memaklumkan bahawa kemalangan yang berlaku pada jam 4.20 petang semalam membabitkan lapan buah kereta, tiga lori dan sebuah treler.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Mercedes Benz dari arah Perling yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an telah mengubah haluan dari lorong tengah masuk ke lorong kanan.

“Akibatnya sebuah lori treler yang berada di lorong kanan tidak dapat mengelak lalu melanggar Mercedes Benz dan terbabas masuk laluan bertentangan seterusnya melanggar 10 kenderaan yang berhenti di laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.

Tiada Kemalangan Jiwa Berlaku

Tambah Raub lagi, didapati dua pemandu wanita serta seorang pemandu lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 60-an mengalami cedera ringan iaitu luka di bahagian muka dan kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis meminta saksi yang melihat kejadian kemalangan itu agar tampil ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan kepada polis atau berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek di talian 014-6977122,” katanya.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]