Pelakon dan penyanyi , Fattah Amin mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman fitnah berjumlah RM5 juta terhadap seorang pempengaruh media sosial bersama suaminya, berhubung dakwaan kononnya beliau berlaku curang ketika masih bergelar suami kepada aktres Fazura.
![]()
Fattah Amin Tuntut RM5 Juta, Fail Saman Fitnah Terhadap Pempengaruh Media Sosial
Tuntutan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Ogos lalu, dengan menamakan Nuraien Adilla Hasha Akhbar dan Mohd Hafizzuddin Hamri, kedua-duanya berusia 29 tahun, sebagai defendan.
Menurut pernyataan tuntutan, kedua-dua defendan didakwa menerbitkan kenyataan berbaur fitnah melalui platform Threads pada 29 Julai dan 22 Ogos lalu, yang kemudiannya tular selepas dikongsi dan dipetik beberapa portal hiburan.
Fattah, 35, mendakwa kenyataan berkenaan memberi gambaran buruk seolah-olah beliau tidak setia terhadap perkahwinan terdahulu sehingga membawa kepada penceraian, sekali gus mencemarkan reputasi serta maruahnya.
![]()
Katanya, dakwaan itu bukan sahaja menimbulkan persepsi negatif masyarakat, malah menyebabkan dirinya tertekan, terhina dan terjejas secara emosi.
Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi serta memohon kedua-dua defendan membuat permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat di semua akaun media sosial mereka. Dalam perkembangan sama, Mahkamah Tinggi semalam mengarahkan defendan menurunkan semua hantaran berkaitan tuduhan curang tersebut selepas membenarkan permohonan injunksi ad-interim yang difailkan secara ex-parte oleh pihak plaintif.
![]()
Peguam yang mewakili Fattah, Mohd Faiz Iskandar Hamzah, berkata keputusan itu dibuat Hakim Datuk Anand Ponnudurai selepas prosiding dalam kamar. Katanya, perintah injunksi tersebut menghalang defendan daripada terus menyiarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah yang boleh menjejaskan imej anak guamnya. Fattah tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam dalam prosiding berkenaan.
Kredit: Sinar Harian