Hidup sebagai insan yang lemah di muka bumi ini pastinya akan menghadapi pelbagai cabaran hidup dan harus ditempuhi dengan penuh kesabaran.
Itulah nasib malang yang menimpa sebuah keluarga di mana lima kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun terpaksa menjalani hidup mereka sebagai gelandangan dengan tinggal di merata tempat sejak hampir tiga minggu yang lalu.
Jadi Gelandangan Hampir Sebulan
Memetik laporan Harian Metro, difahamkan kesemua kanak-kanak serta ibu bapa mereka terpaksa tinggal di rumah saudara dan berteduh di kali lima kedai-kedai berdekatan.
Situasi menyayat hati ini dikongsikan oleh Pasukan Operasi Agihan Daerah Hulu Langat Lembaga Zakat Selangor yang membuat tinjauan dan operasi bagi menjejaki keluarga berkenaan di sekitar Bandar Baru Bangi di Selangor.
“Hari kedua berpuasa, sebuah keluarga diadukan bergelandangan di sekitar Bandar Baru Bangi. Rata-rata hanya mampu melihat dan sedikit simpati dengan menghulurkan seringgit dua untuk mengalas perut.
“Tak dapat dibayangkan, hampir tiga minggu anak seusia tiga tahun ke 11 tahun hidup berpindah randah. Dari rumah saudara ke kaki lima kedai. (Jika) ada sumbangan orang ramai, kenalah di hotel bajet. Semuanya demi anak-anak,” katanya.
Sudah Daftarkan Keluarga Sebagai Asnaf Sementara
Difahamkan, pihak Lembaga Zakat Selangor juga sudah mendaftarkan keluarga berkenaan sebagai asnaf sementara, bagi mengurangkan masalah yang dihadapi mereka.
“Kami menyalurkan sumbangan wang tunai untuk makan minum dan menyewakan dua hari homestay bagi memberikan keselesaan anak-anak kecil sementara urusan mencari rumah sewa. Ada yang bersimpati, tanpa deposit yang diminta oleh tuan rumah, dibenarkan untuk masuk ke rumah sewa dengan segera.
“Selebihnya, keluarga ini perlu mengusahakan sesuatu agar dapat meneruskan kelangsungan hidup. Kami di Lembaga Zakat Selangor sentiasa bergerak menyantuni bukan saja gelandangan, tetapi warga setempat yang memerlukan.
“Semoga dengan bantuan yang disalurkan ini, dapat membuka ruang lebih luas buat keluarga ini untuk mengubah taraf hidup,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada lima kanak-kanak yang ditemui pasukan itu berkongsi kepayahan terpaksa diharungi mereka, khususnya dalam mendapatkan tempat tinggal sempurna buat anaknya.
“Kami sudah tak fikir untuk diri sendiri, apa yang saya fikirkan sebagai seorang ibu, hanyalah untuk anak-anak,” luahnya di akhir kata.
Kredit: Harian Metro