Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kejadian seorang murid lelaki Tahun Dua yang dipercayai ditampar oleh seorang guru semasa latihan sukan di padang sebuah sekolah kebangsaan.
Susulan kejadian itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada ibu murid tersebut pada Khamis.
Murid Ditampar Hanya Kerana Salah Barisan
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor iaitu Deputi Superintenden Mohd Ambia Nordin, mengesahkan bahawa ibu mangsa menyedari kesan bengkak di pipi kanan anaknya ketika menjemputnya di hadapan sekolah pada jam 5.50 petang.
Murid berusia lapan tahun itu memaklumkan kepada ibunya bahawa dia telah ditampar oleh seorang guru lelaki.
Mangsa kemudian dibawa ke klinik dan pemeriksaan perubatan mengesahkan kecederaan tisu lembut pada pipi mangsa disebabkan oleh tamparan.
Berdasarkan siasatan awal, insiden tersebut berlaku ketika murid-murid diminta beratur mengikut kelas selepas sesi latihan sukan, dan guru terbabit dikatakan menampar mangsa apabila dia tersalah barisan.
Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Kejadian itu turut mendapat perhatian apabila seorang individu dipercayai datuk kepada mangsa memuat naik hantaran di media sosial, menyeru ibu bapa lain yang mempunyai pengalaman serupa untuk tampil membuat laporan.
Kredit: Sinar Harian