Baru-baru ini tular di media sosial yang memaparkan kesusahan dan kepayahan pasangan suami isteri terpaksa membawa bayi mereka berusia 11 bulan yang menghidapi penyakit kronik dengan menaiki motosikal dan perkara itu telah meraih perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PM Anwar Sedia Hulurkan Bantuan
Hal ini dikongsikan sendiri oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.
“Mohon sesiapa yang mempunyai info dan maklumat tentang keluarga ini untuk salurkan kepada saya di ruangan komen di bawah agar kami dapat menghubungi mereka.
“Hal ini telah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan insya-ALLAH pihak kami akan membantu keluarga ini dalam menambah baik kehidupan seharian mereka,” tulisnya.
Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan sepasang suami isteri membawa anak mereka yang mengalami masalah paru-paru dan bergantung kepada alat pernafasan menaiki motosikal untuk menghantarnya ke hospital.
Difahamkan, pasangan itu, Mohd Azlan Ishak, 36, dan isterinya Norhidayu Halim, 35, dari Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah tidak mampu untuk membayar tambang teksi kerana mempunyai sumber pendapatan terhad sebagai pembantu di pelantar ikan dengan gaji harian RM50 sehari.
Keadaan itu menyebabkan mereka perlu berulang-alik ke hospital menaiki motosikal bagi mengambil ubat.
Kredit: Majoriti Official