Seorang lelaki yang sebelum ini tular menerusi rakaman video menyerang sekumpulan pelajar sebuah madrasah dikenakan denda keseluruhan RM18,200 selepas mengaku bersalah atas 13 pertuduhan menyebabkan kecederaan.
Tertuduh, Saifur Rahman Mohd Ismail, 38, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus dalam prosiding mahkamah yang berlangsung semalam.
![]()
Lelaki Serang Pelajar Madrasah Mengaku Bersalah, Didenda RM18,200
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,400 bagi setiap pertuduhan, atau penjara selama tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan bayaran. Saifur bagaimanapun memilih untuk membayar kesemua denda yang dikenakan. Kesemua pertuduhan itu berpunca daripada kejadian pada 14 Disember lalu, apabila tertuduh didakwa secara sukarela mencederakan 13 mangsa berusia antara 14 hingga 20 tahun dalam tempoh singkat antara jam 11.55 malam hingga 11.58 malam, di hadapan sebuah premis Gaming Zone di Bandar Sierra.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali. Dalam rayuan bagi meringankan hukuman, peguam tertuduh, Mohd Ari Nadzrah Abd Rahman, memaklumkan bahawa anak guamnya bekerja sebagai seorang ustaz dengan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Menurut peguam tersebut, kejadian berlaku selepas tertuduh mendapati pelajar-pelajar berkenaan keluar dari asrama sekitar jam 11.30 malam, sekali gus mencetuskan rasa marah. Walaupun mengakui tindakan memukul mangsa tidak boleh dibenarkan, beliau memohon mahkamah mempertimbangkan faktor tersebut serta dapatan perubatan yang menunjukkan mangsa hanya mengalami kecederaan tisu lembut dan lebam. Tambahnya lagi, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat oleh pihak berkuasa, bukan oleh mangsa atau ibu bapa mereka.
![]()
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir, menegaskan kepentingan hukuman setimpal dengan keseriusan kesalahan yang dilakukan. Menurutnya, niat baik atau alasan peribadi tidak boleh dijadikan justifikasi untuk melakukan perbuatan yang jelas melanggar undang-undang. Beliau turut menyatakan hukuman yang dijatuhkan perlu menjadi pengajaran kepada tertuduh serta memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa mahkamah tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan.
Mahkamah sebelum ini dimaklumkan bahawa satu laporan polis dibuat pada 15 Disember kira-kira jam 7.07 malam, susulan penularan video yang memaparkan insiden serangan tersebut. Siasatan mendapati, pada 14 Disember sekitar jam 11.55 malam, tertuduh telah menyerang 13 pelajar lelaki yang berada di sebuah kedai Gaming Zone di Bandar Sierra dengan menggunakan topi keledar, tanpa menyedari perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis berkenaan.
Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak serta Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut. Siasatan lanjut turut mengesahkan bahawa kecederaan tersebut berpunca daripada perbuatan tertuduh yang memukul mangsa menggunakan topi keledar.
Kredit: Berita Harian