Baru-baru ini tular satu video yang memaparkan sekumpulan geng Honda dilihat memasak di sebuah stesen minyak dan ianya telah mendatangkan kegusaran ramai pihak hingga mereka ini mendapat kecaman hebat dan kini polis sudah mengesan video berkenaan.
Macam mana diorang ni boleh terfikir nak pasang stove dekat stesen minyak? 😰 pic.twitter.com/BvBr5h8It9
— 🇲🇾 (@localrkyt) May 12, 2024
Polis Sudah Terima Laporan
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Bentong iaitu Superintendan Zaiham Mohd Kahar memaklumkan bahawa pihak mereka telah menerima laporan sekitar jam 12.35 tengah hari semalam di Balai Polis Bentong.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati, rakaman video terbabit tular melalui satu laman sosial X (dahulu Twitter) dan telah dimuat naik pada 13 Mei lalu.
“Klip video berdurasi lebih kurang 50 saat itu memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan melakukan aktiviti memasak di kawasan stesen minyak berkenaan,” katanya.
Susulan kejadian itu, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan dan kes bakal disiasat mengikut 268 Kanun Keseksaan iaitu satu kesalahan menyebabkan kegusaran am kepada orang awam.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain. Kita mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan,” ujarnya lagi.
Polis Akan Ambil Tindakan Tegas
Zaiham turut menambah pihaknya bakal mengambil tindakan yang tegas terhadap video geng Honda tersebut dan akan melakukan operasi bersepadu di sekitar stesen minyak berkenaan, terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.
“Ini kerana polis mendapat maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik-pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya lain yang melalui lokasi berkenaan,” jelasnya.
Terdahulu, video sekumpulan lelaki dan wanita yang menaiki kereta jenis Honda telah mendatangkan kemarahan netizen apabila tindakan mereka yang memasak mi segera dengan menggunakan gas mudah alih di stesen minyak, dipercayai di Genting Highland boleh menyebabkan marabahaya, namun tidak diendahkan sama sekali oleh kumpulan terbabit.
Kredit: Berita Harian