Baru-baru ini tular satu video yang memaparkan seorang wanita berbangsa India menyuap makanan kepada seorang pemuda yang menghidap penyakit angin ahmar atau strok, sehingga mendapat pujian netizen kerana mengetepikan perbezaan kaum dan agama demi membantu mereka yang memerlukan.
Video di bawah:
https://vt.tiktok.com/ZSYB48gAR/
Bantu Suapkan Makanan Selepas Tengok Pemuda Itu Susah Untuk Makan Sendiri
Memetik laporan Harian Metro, difahamkan wanita yang bernama C Anjala Devi, 63, datang ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (HSA) kelmarin untuk melawat anak saudaranya, K Jaya Shankar, 39, yang mendapat rawatan di hospital berkenaan akibat sakit jantung.
“Waktu dalam wad, saya nampak adik itu berseorangan atas katil, tak ada orang datang melawatnya.
“Jadi, saya pun bantu suapkan dia makan kerana kasihan biarkan dia terus terbaring tanpa jamah makanan.
“Lagipun, dia diserang angin ahmar dan tak dapat nak suap makanan sendiri jadi apa salahnya saya bantu.
“Saya nampak adik (panggilan untuk pemuda berkenaan) itu makan sambil menangis dan saya kata jangan menangis, saya beritahu supaya makan sampai habis supaya perut tak kosong,” ceritanya.
Mahu Bantu Ringankan Beban Pesakit Berkenaan
Katanya lagi, apa yang dilakukannya itu hanyalah untuk membantu meringankan beban pemuda berkenaan mengikut apa yang termampu.
“Saya gembira dapat bantu adik itu kerana walau macam mana pun, kita tetap satu Malaysia.
“Mana boleh orang susah kita tengok saja? Hari ini pun saya ada masakkan sup dengan sayur dan beri adik itu makan.
“Saya harap adik itu cepat sihat dan sembuh daripada penyakit,” ujarnya.
Sementara itu, pemilik video yang bernama , K Jamunahwathy, 28, memaklumkan bahawa dia merakam momen berkenaan secara spontan kerana terharu dengan sifat keibuan yang ditunjukkan oleh ibu saudaranya itu.
“Difahamkan, pemuda itu tak boleh makan sendiri kerana angin ahmar dan mak cik saya pula tak sampai hati tengok keadaannya jadi bersungguh nak suap makanan.
“Makcik kasihan dengan pemuda kerana tak makan dan risau jika dia lapar… waktu itu pun pemuda berkenaan sendiri tanpa ada keluarga dan rakan dengannya.
“Saya pun sedih lihat keadaannya dan pada masa sama nampak ‘sweet‘ tengok mak cik suap pemuda itu.
“Tak lama selepas rakam video, saya kongsi di TikTok dan tak sangka pula boleh tular hingga buat ramai tersentuh serta katakan mengenai semangat satu Malaysia.
“Saya setuju kerana di Malaysia, kita memang patut berbuat baik dengan semua orang tak kira bangsa atau agama pun supaya negara kekal aman,” kongsinya di akhir kata.
Kredit: Harian Metro