fbpx

Isu tulisan Jawi ni nampaknya semakin panas. Benda ni dah melibatkan banyak pihak, tak kiralah kelompok yang menyokong atau menentang – semuanya nampak tengah panas.

Di Facebook, seorang guru yang kini mengajar di SJKT telah tampil memberi pandangan tentang pertikaian mengenai penolakan keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT).

Ikuti pandangan beliau:

Sebagai guru BM yang telah berkhidmat hampir 24 tahun di SJKC, saya ingin memberi pandangan terbuka berhubung perkara ini. Inilah tanggungjawab saya sebagai guru yang terlibat secara langsung dalam pengajaran Bahasa Melayu di SJKC.

1. Bantahan terhadap tulisan jawi ini agak sukar diterima oleh akal fikiran yang waras. Apabila meneliti buku teks ini, saya dapati tulisan jawi yang menyebabkan pertikaian ini tidak memenuhi 3 muka surat penuh, hanya terdapat beberapa perkataan sahaja.

Tidak ada unsur- unsur yang menjejaskan jati diri sesuatu kaum dan agenda menyebarkan sesuatu agama dalam buku ini. Tidak ada.

2. Muka surat yang terlibat hanya pada halaman 49,105 dan 156 sahaja. Halaman tersebut hanya menerangkan maksud tulisan jawi yang terdapat pada Jata Negara, setem dan wang kertas yang digunakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Saya mendapati semua tema dalam buku teks ini sesuai dan tidak ada unsur-unsur yang perlu diragui.

3. Langkah untuk memperkenalkan tulisan jawi yang terdapat pada 3 lambang tersebut sepatutnya disokong dan bukan ditentang. Ini supaya murid-murid warganegara Malaysia faham maksud tulisan jawi tersebut.

4. Jika ingin menentang tulisan jawi buatlah bantahan secara menyeluruh iaitu bantahan untuk tidak menggunakan tulisan jawi pada logo HALAL dan pembungkusan produk makanan dan sebagainya. Ini juga sepatutnya yang perlu dilakukan kerana konteksnya sama dengan tulisan jawi pada 3 halaman buku teks itu.

5. Mengapa tidak dibuat bantahan terhadap penggunaan logo HALAL bertulisan jawi ini?
Jawapannya kerana logo HALAL bertulisan jawi memberi keyakinan kepada umat Islam untuk membeli sesuatu produk. Anda akan berjuang untuk mendapatkan logo HALAL itu demi kelangsungan bisnes. Tanpa logo HALAL, umat Islam tidak akan menyokong produk buatan anda.

6. Pendidikan adalah untuk melahirkan anak-anak yang mendukung semangat perpaduan. Adalah sesuatu yang mendukacitakan apabila isu seperti ini menjejaskan keharmonian rakyat dan mengganggu tugas-tugas guru di sekolah dengan pelbagai isu.

7. Sekolah vernakular ini mendapat tempat yang begitu istimewa dalam sistem pendidikan negara. Saya tegaskan begitu kerana tidak ada sebuah pun negara di dunia ini yang mempunyai pendidikan pelbagai aliran mengikut kaum seperti di Malaysia. Negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia telah awal-awal lagi menolak sistem ini.

8. Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya mendukung Dasar Pendidikan Negara. Bukannya hanya berjuang untuk kepentingan kaum sendiri sahaja.

9. Semua kita memang ada sikap mementingkan kaum sendiri termasuk diri saya, cuma yang membezakannya adakah prinsip kita “setebal atau senipis kulit bawang”?

[fbcomments]