Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, tindakan mengubah suai Jata Negara merupakan satu perbuatan sangat biadap dan tidak boleh dimaafkan.
Beliau berkata mereka yang terlibat wajar dikenakan hukuman berat tanpa kompromi kerana Jata Negara merupakan simbol tertinggi untuk sesebuah negara.
“Saya nak menyatakan rasa kesal yang amat sangat kerana dalam soal simbol kebesaran negara, bukan sahaja menghormatinya, malah untuk menggunakan simbol-simbol kebesaran negara ini juga perlu tertib dan penuh etika.

“Misalnya, Jata Negara kena digunakan penuh dan apabila dipamerkan mesti diletakkan di atas sekali dan tidak ada simbol lain yang boleh diletak… apa lagi meletak wajah entah siapa.
“Pada saya ini perbuatan yang sangat biadap dan tidak boleh kita kompromi dengan keadaan sedemikian rupa, saya yakin polis akan menyiasat dengan rapi dan saya harap siapa saja bersalah itu akan diberi hukuman berat.”
Menurutnya, semua rakyat Malaysia perlu menghormati Jata Negara, sama seperti menghormati Jalur Gemilang.
Sehubungan itu, alasan penerbit buku kontroversi itu, Chong Ton Sin, yang juga pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya bahawa pihaknya tidak berniat untuk menghina Jata Negara serta ia berlaku secara tidak sengaja sebagai satu alasan tidak munasabah.

BACA: Penerbit Buku Yang Papar Imej Hina Jata Negara Mohon Maaf, Tak Sangka Jadi Isu Besar
Lukisan mirip Jata Negara itu memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.