Naskhah al-Quran tulisan tangan Allahyarham Nurly Shahirah Azman, salah seorang mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik pada Jun lalu kini dipulihara melalui proses pendigitalan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum dipamerkan kepada orang ramai.
Naskhah al-Quran Tulisan Tangan Allahyarham Nurly Shahirah Didigitalkan, Kini Dipamerkan
Naskhah berharga yang ditulis sendiri oleh Allahyarham sepanjang pengajian di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut, dari Tingkatan Satu hingga Lima, diserahkan sementara kepada Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata usaha pendigitalan dilakukan bagi memastikan setiap helaian mushaf tersebut dapat disimpan untuk jangka panjang tanpa menjejaskan keaslian manuskrip asal.
“Salinan digital ini akan menjadi koleksi rujukan berkualiti tinggi, sekali gus memudahkan pelajar, penyelidik dan masyarakat umum mengakses kandungan al-Quran tulisan tangan ini,” katanya dalam kenyataan.
![]()
Sementara itu, Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad, menjelaskan kerja pendigitalan dilaksanakan menggunakan teknologi imej beresolusi tinggi agar setiap tulisan direkodkan secara jelas dan tepat.
Beliau menambah, mushaf berkenaan turut dipamerkan secara eksklusif di Aras 1, Perpustakaan Tuanku Bainun bermula 25 Ogos hingga 2 September 2025, bagi memberi peluang orang ramai meneliti hasil karya anak muda yang gigih menyalin keseluruhan al-Quran dengan tangannya sendiri.
“Pameran ini bukan sahaja menonjolkan nilai seni tulisan tangan, malah sebagai penghormatan kepada ketekunan Allahyarham Nurly Shahirah serta menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk lebih dekat dengan al-Quran,” katanya.
![]()
Pada 9 Jun lalu, Nurly Shahirah, bersama 14 pelajar UPSI lain, maut selepas bas sewa khas dinaiki mereka terbalik di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik ketika dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus Tanjong Malim. Kemalangan itu turut mencederakan 33 penumpang lain.
Kredit: Sinar Harian, Bernama