Seorang usahawan yang menjual pencuci mulut Timur Tengah, kunafa, berdepan kerugian besar selepas mendakwa ditipu oleh seorang wanita yang bertindak sebagai ‘personal shopper’ bagi produk jualannya.
Usahawan Kunafa Rugi Lebih RM200,000 Akibat Tertipu Resit Palsu, Suspek Kini Direman
Menerusi perkongsian di Instagram, usahawan dikenali sebagai Ojen Aiwah mendedahkan dirinya telah kerugian sebanyak RM246,611 selepas wanita terbabit menggunakan taktik licik dengan mengemukakan resit bayaran palsu. Difahamkan, suspek merupakan seorang personal shopper dari Sabah dan telah menjalankan kegiatan itu secara berterusan selama lapan bulan.
Menurut Ojen, resit yang dikemukakan kelihatan seakan-akan tulen kerana telah disunting menggunakan aplikasi penyuntingan gambar bagi mengaburi mata penerima. Perkara itu hanya disedari selepas jumlah transaksi tidak selari dengan rekod jualan sebenar.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, wanita terbabit telah membayar semula sejumlah RM69,300, namun masih berhutang RM64,000. Ojen memberi amaran bahawa gambar wanita tersebut akan didedahkan sekiranya bayaran baki itu gagal dilunaskan menjelang Selasa.
Dalam kemas kini terbaru, usahawan itu memaklumkan bahawa suspek telah ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.
Kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa bagi tindakan selanjutnya.
Kredit: Instagram ojennaiwahhh_